[VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 1:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak

PETALING JAYA – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi kekecewaannya berhubung pelaksanaan tahanan di rumah ke atas bapanya yang ditangguhkan buat sementara waktu, seperti dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Nooryana Najwa menerusi hantaran video pada Instagramnya berkata, pihaknya telah berusaha memenuhi syarat termasuk bayaran denda sebanyak RM50 juta bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.

“Kami dimaklumkan yang pihak penjara akan membawa ayah pulang selepas terima perintah mahkamah tersebut. Mula-mula kami diberitahu pukul 5 petang, kemudian berubah 8.30 malam. Jadi kami tunggu, tapi sekitar 2 petang tadi, kami dapat makluman pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) cuba tangguh pembebasan Datuk Seri Najib.

“Walaupun begitu kami masih yakin sebab dari segi prosedur dan perintah mahkamah yang sudah dikeluarkan, sepatutnya mencukupi. Tapi akhirnya AGC mengeluarkan kenyataan untuk tangguhkan proses tersebut.

“Saya tak nak ulas panjang soal undang-undang, saya serahkan kepada peguam kami. Sebagai anak, saya memang amat kecewa, kami dah ikut apa yang ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat Tuanku, kami kumpul dana, bayar RM50 juta denda, ikut proses yang ditetapkan,” katanya pada video tersebut.

Nooryana Najwa turut mempersoalkan sekiranya terdapat syarat lain yang tidak dimaklumkan kepada pihaknya lebih awal.

“Kalau ada syarat lain, kenapa tak dimaklumkan dari awal dan kalau masih ada halangan, kenapa terima bayaran RM50 juta hari ni. Apa yang berlaku ni mengingatkan kami tentang pengalaman berhubung perintah adendum sebelum ini.

“Setiap kali kami rasa ayah sudah hampir nak balik, ada je halangan baharu. Sampai bila? Kami cuma memohon keadilan, ketelusan, perintah Tuanku dihormati dan kedaulatan undang-undang ditegakkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mereka sekeluarga telah bersiap sedia untuk menerima kepulangan Najib hari ini.

“Tapi nampaknya malam ni bukan rezeki kami lagi. Sejak pagi tadi Yana sekeluarga tak putus-putus berhubung dengan pelbagai pihak nak pastikan semua berjalan lancar, supaya ayah dapat pulang ke rumah hari ni,” katanya.

Mengakhiri video tersebut, Nooryana Najwa turut menitipkan harapan supaya bapanya terus kuat dan mereka juga sentiasa berusaha untuk memastikan kepulangan Najib ke rumah.

“Kepada daddy, saya tahu anda tidak melihat (video) malam ini, tapi saya harap daddy tahu kami sedang buat segalanya yang termampu untuk bawa daddy balik. Kami tahu anda merindui keluarga ini, kami pun semua terlalu rindu.

“Daddy tolong kuat, kami masih berusaha lagi. Kepada penyokong Datuk Seri Najib, terima kasih sentiasa bersama kami. Kami perlukan suara anda, teruskan bersuara tuntut keadilan berterusan.

“Kami bukan nak sebar kebencian, tapi nak pastikan kebenaran dan undang-undang ditegakkan. Semoga Allah memberkati usaha kami,” ujarnya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk penyokong Najib yang bersama-sama menyumbang kepada Tabung Solidariti Najib Razak. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by yananajib (@yananajib)

The post [VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved