'Sepatutnya hari ini menggembirakan kami sekeluarga' - Anak Najib luah rasa kecewa

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 11:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Sepatutnya hari ini menggembirakan kami sekeluarga' - Anak Najib luah rasa kecewa
Nooryana Najwa

SHAH ALAM – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap keputusan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah bapanya.

Nooryana berkata, hari tersebut sepatutnya menjadi detik yang menggembirakan buat seluruh keluarga kerana mereka telah bersedia untuk menyambut kepulangan Najib ke rumah.

Menurutnya, beliau bersama ahli keluarga lain berusaha sejak pagi untuk menghubungi pelbagai pihak bagi memastikan semua urusan berkaitan kepulangan bapanya berjalan lancar.

"Mula-mula kami diberitahu ayah akan dibawa pulang ke rumah pada jam 5 petang, kemudian masa itu diubah kepada jam 8.30 malam, jadi kami terus menunggu.

"Sebelum itu, sekitar jam 2 petang tadi, kami menerima maklumat bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang cuba menangguhkan pembebasan Najib.

"Namun kami sekeluarga masih yakin kerana difahamkan dari segi prosedur, perintah mahkamah yang telah dikeluarkan sepatutnya sudah mencukupi," katanya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Keluarga tidak dimaklumkan’- Rosmah kata tidak tahu dua wakil bayar denda RM50 juta Najib

Denda RM50 juta Najib: Pegawai khas, pemimpin UMNO muncul di kaunter bayaran mahkamah

Tangguh tahanan rumah Najib satu bentuk penderhakaan - Asyraf Wajdi

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada September lalu.

AGC dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.

Menurut AGC, terdapat dua kemungkinan tafsiran terhadap perintah berkenaan yang memerlukan penelitian lanjut sebelum pelaksanaan seterusnya dapat dilakukan.

Nooryana berkata, setiap kali Najib dijadualkan pulang, pasti wujud halangan yang mengingatkannya kepada pengalaman pahit berkaitan Titah Adendum.

Menurutnya, kali ini semua syarat yang ditetapkan telah dipatuhi termasuk menjelaskan bayaran denda RM50 juta.

"Kalau ada syarat lain, mengapa ia tidak dimaklumkan dari awal? Dan jika masih ada halangan, mengapa bayaran RM50 juta itu diterima hari ini?

"Sampai bila? Kami hanya memohon keadilan dan ketelusan. Kami mahu titah Tuanku dihormati serta kedaulatan undang-undang ditegakkan.

"Kepada semua penyokong Najib, terima kasih kerana sentiasa bersama kami. Kami memerlukan suara anda lebih daripada sebelumnya. Teruskan bersuara, teruskan bertanya dan teruskan menuntut keadilan," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada Tabung Solidariti Najib.

"Tidak kiralah besar atau kecil, setiap sumbangan amat bermakna buat keluarga saya," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved