PNB pertimbang jual Prolintas, berpotensi capai RM3 bilion

LocalBusiness & Finance
15 Jul 2025 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PNB pertimbang jual Prolintas, berpotensi capai RM3 bilion

image is not available

15/07/2025 - 16:10

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai – Permodalan Nasional Bhd (PNB) dikatakan sedang menilai kemungkinan menjual unit lebuh raya miliknya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), dalam langkah strategik yang berpotensi menjana sehingga RM3 bilion.

Perkara itu didedahkan sumber industri yang memaklumkan PNB telah melantik penasihat kewangan bagi meneliti pelan pelupusan strategik tersebut dan kini dalam proses mengenalpasti pihak yang berminat termasuk termasuk firma ekuiti swasta serta pengendali industri lebuh raya tempatan dan serantau.

Bagaimanapun, tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan PNB masih berpeluang untuk mengekalkan pemilikannya dalam Prolintas.

Sementara itu, PNB dalam satu kenyataan media menegaskan sebagai pelabur jangka panjang yang komited terhadap pulangan mampan, pihaknya sentiasa menilai semula portfolio pelaburannya untuk mencari peluang menambah nilai, termasuk melalui pelupusan atau penyusunan semula aset.

“Sebarang keputusan akan dibuat melalui proses tadbir urus yang teliti selaras dengan objektif pelaburan syarikat,” katanya sebagai mengulas laporan media awal hari ini.

Selaras dengan dasar syarikat, PNB juga menegaskan ia tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap sebarang spekulasi pasaran atau khabar angin.

“Sebarang perkembangan penting hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi mengikut kehendak pengawal selia,” kata PNB.

Dalam pada itu, data Bloomberg menunjukkan, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) melibatkan syarikat Malaysia menyusut 46% kepada AS$4.2 bilion (RM19.8 bilion) tahun ini, mencerminkan sentimen pasaran yang berhati-hati di tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Prolintas yang ditubuhkan pada 1995 dimiliki sepenuhnya oleh PNB, mengendalikan pelbagai rangkaian lebuh raya di Lembah Klang. Syarikat itu turut memiliki 51% kepentingan dalam Prolintas Infra Business Trust Bhd., syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dengan nilai pasaran kira-kira RM1.1 bilion.

Prolintas turut memperkenalkan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan lebuh raya selaras aspirasi pendigitalan infrastruktur dan peningkatan keselamatan pengguna. - DagangNews.com

featured standard