SDB perkenal DaMai, projek kediaman mewah di Taman Melawati

15 Jul 2025 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SDB perkenal DaMai, projek kediaman mewah di Taman Melawati

image is not available

15/07/2025 - 17:44

DaMai, projek kediaman mewah baharu SDB di Taman Melawati Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - Syarikat pemaju hartanah butik, Selangor Dredging Berhad (SDB) melancarkan DaMai, sebuah kediaman puncak bukit pertama seumpamanya di Taman Melawati yang menawarkan gabungan elemen mewah dan warisan budaya yang ekslusif.

Dibina atas tanah pegangan bebas seluas2.89 hektar, hartanah itu terdiri daripada satu blok setinggi 17 tingkat yang mempunyai 306 unit kediaman berkeluasan antara 2,056 hingga 5,038 kaki persegi.

Konsepnya yang paling unik ‘letak kereta di depan pintu rumah anda’ menjadikan DaMai sebagai satu-satunya kediaman butik yang menawarkan kemudahan itu secara praktikal dan efisien.

Pengarah Urusan Kumpulan SDB, Teh Lip Kim berkata, DaMai dibangunkan untuk mengubah tanggapan ramai terhadap kehidupan di kediaman bertingkat yang sering dikaitkan dengan tempat letak kereta yang terhad dan tidak praktikal.

“Reka bentuk DaMai turut menampilkan sentuhan seni tempatan yang mengangkat nilai budaya Malaysia ke peringkat lebih tinggi. Seni anyaman tradisional yang melambangkan hubungan erat menjadi inspirasi utama kepada susun atur ruang bangunan ini.

“Elemen ini menyatukan identiti moden dan warisan budaya dalam satu reka bentuk kontemporari yang unik yang diharap akan menjadi mercu tanda rekaan senibina syarikat kami,” katanya.

Tambahnya, setiap unit kediaman direka secara teliti bagi memenuhi keperluan gaya hidup seisi keluarga dengan susun atur yang fleksibel, ruang yang luas serta kemudahan yang menyokong interaksi dan privasi mereka.

“Kami reka unit kediaman dengan ruang keluarga yang lapang, teres peribadi serta bilik serbaguna manakala unit penthouse terpilih menawarkan keistimewaan akses terus ke taman bumbung seluas satu ekar,” katanya.

Penerima Anugerah Wanita Hartanah Terbaik FIABCI itu berkata, SDB telah mengambil inisiatif dengan membina struktur tahan gempa berasaskan kajian garis sesar aktif dan sejarah gegaran di Semenanjung Malaysia untuk tahap keselamatan penghuni kediaman itu.

“Bangunan ini menggunakan slab asas istimewa dan dinding konkrit bertetulang, mematuhi piawaian antarabangsa demi memberikan ketenangan kepada penghuninya.

“Salah satu ciri istimewa projek ini ialah sistem ramp laju yang membolehkan pemilik kediaman memandu terus ke hadapan pintu rumah dari aras L4 hingga L16.

“Inovasi ini menggantikan kebergantungan penghuni kepada lif dan lobi yang akan memudahkan pergerakan seharian mereka terutama keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas atau barang yang perlu dibawa,” katanya.

Antara keistimewaan DaMai ialah setiap unit kediaman mempunyai sehingga enam petak tempat meletak kenderaan.

Ia adalah satu penyelesaian terbaik memandangkan kebanyakan keluarga berpendapatan sederhana tinggi di Malaysia mempunyai lebih dari dua kenderan.

Selain itu, Teh berkata, kemudahan lain yang disediakan ialah kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna, surau, bilik bacaan, taman permainan kanak-kanak serta taman bumbung yang menampilkan laluan joging sejauh 700 meter dengan pandangan panorama yang menarik.


Lokasi DaMai juga sangat strategik dengan akses ke pusat bandar menggunakan beberapa lebuh raya utama sepertiLebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2), Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Setiawangsa—Kuala Lumpur (AKLEH).- DagangNews.com

standard