Ramssol jual 40% pegangan dalam Rider Gate kepada firma teknologi AS

LocalBusiness & Finance
15 Jul 2025 • 10:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ramssol jual 40% pegangan dalam Rider Gate kepada firma teknologi AS

image is not available

15/07/2025 - 10:11

Oleh

KUALA LUMPUR 15 Julai – Ramssol Group Bhd menjual 40% pegangan dalam anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn Bhd kepada syarikat tersenarai di NASDAQ iaitu SAGTEC Global Ltd berharga RM25 juta.

Penjualan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik untuk mempercepatkan pertumbuhan platform teknologi automotifnya (AutoTech) serta mengumpul semula dana untuk strategi pertumbuhan kumpulan Ramssol.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ramssol berkata, transaksi itu akan diselesaikan menerusi terbitan saham baharu SAGTEC, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC).

“Pelupusan sebahagian pegangan itu membolehkan kumpulan memanfaatkan kekuatan modal dan keupayaan pembangunan perisian SAGTEC untuk mempercepatkan pengkomersialan Rider Gate,” katanya.

Ramssol berkata, penjualan itu juga akan memberi ruang kepada penyaluran semula sumber kepada operasi yang lebih segera dan berimpak kepada keuntungan.

“Langkah ini mencerminkan usaha penting kami untuk melonjakkan Rider Gate sebagai platform utama di rantau ini, disokong oleh rakan kongsi dan sumber yang tepat,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Ramssol turut memberi jaminan keuntungan sekurang-kurangnya AS$1 juta (kira-kira RM4.25 juta) dalam tahun kewangan penuh pertama Rider Gate selepas transaksi dimuktamadkan.

Rider Gate, yang dilancarkan pada Januari 2025, menawarkan ekosistem digital bagi jual beli motosikal terpakai yang merangkumi perkhidmatan pembiayaan, insurans, pemeriksaan, aksesori dan baik pulih.

Sehingga kini, platform itu telah menarik lebih 25,000 pengguna dan lebih 300 pengedar motosikal dengan sasaran untuk mendaftar 1,000 outlet di seluruh Semenanjung Malaysia dalam tempoh setahun.

Nilai pertimbangan RM25 juta (AS$5.8 juta) meletakkan anggaran penilaian Rider Gate pada RM62.5 juta dan akan dibayar melalui saham SAGTEC. SAGTEC juga memberi jaminan bahawa nilai saham pertimbangan akan kekal sekurang-kurangnya AS$5.8 juta untuk tempoh enam bulan selepas tempoh ‘lock-up’.

Sekiranya nilai saham jatuh di bawah paras tersebut, SAGTEC akan membayar tunai perbezaan kepada Ramssol.

Ramssol menjangkakan keuntungan pelupusan sekitar RM25.14 juta daripada urus niaga ini.

Hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman, pembelian motosikal elektrik (EV) dan pelancaran segmen perniagaan baharu yang memberi tumpuan kepada penyewaan motosikal EV.

Transaksi ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai dalam suku ketiga 2025. - DagangNews.com

standard