PNB peruntukkan RM1.32 juta bantu komuniti di Melaka dan Kedah melalui Program Santuni Madani

23/09/2025 - 17:19
Golongan pelajar antara penerima manfaat Program BUDI PNB-TVET Santuni Madani / Gambar Politeknik Merlimau Melaka Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 23 Sept – Permodalan Nasional Bhd (PNB) memperuntukkan RM1.32 juta bagi menyokong inisiatif komuniti di Kampung Merlimau Pantai, Melaka dan Kampung Telok Kandih, Kedah, di bawah Program Santuni Madani.
Inisiatif itu selaras dengan komitmen PNB untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memperbaiki kualiti hidup melalui pendekatan strategik, inklusif dan jangka panjang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, ia juga sebahagian daripada program pengaktifan dan reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Kedua-dua kampung itu akan menerima manfaat daripada inisiatif yang memberi tumpuan kepada peningkatan sosioekonomi, pemerkasaan komuniti dan akses pendidikan.
“Penerima manfaat termasuk pelajar, usahawan, sekolah, golongan asnaf serta penduduk yang sakit dan warga emas,” kata PNB dalam satu kenyataan.

Di Melaka, PNB menumpukan usaha untuk meningkatkan pelancongan dan aktiviti perniagaan kecil di Kampung Merlimau Pantai dengan memanfaatkan warisan semula jadi dan budaya setempat sebagai destinasi pelancongan lestari.
Di Kedah pula, fokus utama adalah kepada pemerkasaan keusahawanan dan sokongan perniagaan kecil di Kampung Telok Kandih.
Beliau berkata, penglibatan kedua-dua kampung di bawah program Santuni Madani selaras dengan matlamat syarikat untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
“Kami berharap melalui usaha menyeluruh ini dalam kebajikan komuniti, pembangunan infrastruktur, promosi keusahawanan dan peningkatan aktiviti perniagaan akan memberi impak yang bermakna dalam kehidupan rakyat,” katanya.
Program Santuni Madani diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 bagi memperkukuh sokongan kepada komuniti melalui pelbagai inisiatif.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Merlimau Pantai, Razmi Kandis berkata, penduduk sangat teruja dengan pelaksanaan program tersebut.
“Terima kasih kepada PNB dan semoga program ini akan memberi kesan positif kepada penduduk,” katanya. - DagangNews.com
standard


