PNB rancang RM15 bilion pelaburan hijau dan rendah karbon menjelang 2030

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PNB rancang RM15 bilion pelaburan hijau dan rendah karbon menjelang 2030 Image from: PNB rancang RM15 bilion pelaburan hijau dan rendah karbon menjelang 2030 amree25/09/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept — Permodalan Nasional Berhad (PNB) merancang RM15 bilion pelaburan dalam aset hijau dan rendah karbon serta RM500 juta pelaburan sosial berimpak menjelang 2030, menerusi Rangka Kerja Kelestarian 2026 (SF 2026) yang baharu diperkenalkan.

 

Sasaran itu memperlihatkan usaha kumpulan untuk memperluaskan peranan modal institusi dalam menyokong usaha perubahan kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan, selain memastikan manfaat pelaburan turut memberi kesan lebih luas kepada masyarakat.

 

Ujarnya, berteraskan tema Melabur Secara Bertanggungjawab, Memperkasa Generasi', SF 2026 mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam aktiviti pelaburan, operasi serta tanggungjawab pemegang saham PNB.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, rangka kerja baharu itu bukan satu permulaan semula, sebaliknya kesinambungan daripada asas yang dibina menerusi rangka kerja kemampanan PNB sejak 2022.

 

"PNB sudah mencapai lapan daripada 10 sasaran ditetapkan, termasuk sasaran 'Net Zero Enterprise 2025', penggunaan elektrik PNB Enterprise yang 100% disokong sijil tenaga boleh diperbaharui (RE) serta pelaburan RM8.1 bilion dalam aset hijau," katanya dalam kenyataan.

 

SF 2026 dibina berasaskan kepada tiga teras strategik iaitu memajukan kemampanan organisasi, tanggungjawab pemegang amanah serta memperkukuh agenda pembinaan negara, dengan 16 sasaran boleh ukur sehingga 2030 dan tahun-tahun yang seterusnya.

 

PNB_DagangNews2026

 

Bagi kemampanan organisasi, PNB akan mengekalkan pelepasan bersih sifar Skop 1 dan Skop 2, selain menyokong aspirasi mencapai pelepasan bersih sifar menjelang 2050, mengurangkan pelepasan tidak langsung daripada perjalanan perniagaan serta memperkukuh amalan perolehan mampan.

 

Di bawah teras tanggungjawab pemegang amanah, PNB menggunakan kedudukan sebagai pelabur institusi utama menggalakkan syarikat dalam portfolio menjadi berdaya tahan, termasuk penyahkarbonan portfolio, daya tahan iklim serta pertimbangan alam semula jadi.

 

"Rangka kerja itu turut merangkumi amalan pekerjaan saksama, termasuk prinsip berkaitan buruh serta gaji kehidupan, yang bertujuan memperkukuh daya tahan dan daya saing jangka panjang syarikat yang menjadi tempat simpanan pelaburan rakyat," katanya.

 

Sementara itu, teras memperkukuh agenda pembinaan negara memberi tumpuan kepada impak sosial dan kewangan menerusi pembangunan bakat, biasiswa, pelaburan komuniti, literasi kewangan, pemeliharaan warisan serta pelaburan sosial berimpak.

 

PNB berkata SF 2026 mencerminkan pendekatan lebih luas terhadap penciptaan nilai, bukan sekadar menjana pulangan, tetapi menyokong peralihan ekonomi, memperluas peluang dan melabur semula dalam masyarakat bagi memastikan nilai memberi manfaat kepada generasi akan datang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved