amree24/09/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — Malaysia perlu mengubah fokus daripada sekadar menambah kapasiti pelabuhan kepada membina ekosistem logistik yang saling berhubung, ketika persaingan untuk menarik banyak pelaburan dan aktiviti pembuatan dalam ASEAN semakin sengit.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai, keupayaan pelabuhan, landasan kereta api dan jalan raya untuk berfungsi sebagai satu rangkaian logistik yang lancar kini lebih penting dalam menentukan daya saing Malaysia.
Menurut beliau, pelabuhan tidak lagi boleh dinilai hanya berdasarkan apa yang berlaku di kawasan dermaga, sebaliknya nilai sebenar terletak pada keupayaannya menghubungkan kargo dari pelabuhan ke pusat industri dan pasaran.
Beliau berkata pengalaman Kuantan Port menunjukkan bahawa pelabuhan, taman perindustrian dan pelabur perlu bergerak sebagai satu ekosistem bagi mewujudkan keyakinan kepada syarikat untuk melabur dan mengembangkan operasi mereka.
"Kuantan Port kini mengendalikan lebih 20 juta tan kargo setahun, manakala Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) sudah menarik lebih RM31 bilion pelaburan terkumpul," kata Chun Fai.

Ujarnya, kejayaan MCKIP bukan disebabkan kewujudan pelabuhan semata-mata, tetapi kerana pengeluar keluli, pelabur penapisan dan syarikat pembuatan yang beroperasi di taman perindustrian itu mempunyai akses kepada kemudahan pelabuhan yang mampu berkembang seiring dengan keperluan mereka.
Beliau melihat projek East Coast Rail Link (ECRL) sebagai antara pemangkin yang boleh memperluas hubungan logistik negara, khususnya dengan menghubungkan pelabuhan di Pantai Timur kepada hab industri di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Jelas Chun Fai, ECRL tidak seharusnya dilihat hanya sebagai projek pengangkutan penumpang kerana keupayaan mengangkut kargo akan menjadi komponen penting dalam memperkukuh hubungan antara kawasan industri dan pelabuhan.
Setiap lokomotif elektrik ECRL mampu menarik sehingga 45 gerabak dan membawa kira-kira 3,500 tan kargo bagi setiap perjalanan pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam, sekali gus berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan lori berat serta menyokong pergerakan barangan dengan pelepasan karbon lebih rendah.
Pembinaan laluan cabang ECRL ke Kuantan Port pula sedang berjalan dan disasarkan siap menjelang akhir tahun ini, yang akan memberikan pelabuhan berkenaan hubungan rel secara terus dengan rangkaian nasional serta memperkukuh keupayaan pengangkutan multimodal.

Pada masa sama, Kuantan Port terus memperluas hubungan serantaunya menerusi New International Land-Sea Trade Corridor China, termasuk kerjasama dengan Guangxi Beibu Gulf Port Group untuk menghubungkan Malaysia dengan wilayah barat China dan ASEAN.
"Malaysia berdepan persaingan daripada negara seperti Vietnam dan Indonesia dalam usaha menarik pelaburan pembuatan serta mempelbagaikan rantaian bekalan," tambahnya.
Justeru, kelebihan negara bukan hanya bergantung kepada kapasiti pelabuhan atau elektrifikasi rel, tetapi sejauh mana keseluruhan rantaian logistik mampu mengurangkan kos dan kesukaran pergerakan barangan dari kapal hingga ke kilang.
Chun Fai berkata, pelabuhan juga perlu terus meningkatkan integrasi digital, keterlihatan kargo secara masa nyata, kebolehpercayaan operasi dan penyelesaian logistik lebih mampan kerana perkara itu semakin menjadi keperluan asas kepada pelanggan.
Katanya, Malaysia sudah ada asas kukuh melalui pelabuhan, MCKIP dan rangkaian ECRL, namun cabaran seterusnya ialah menghubungkan semua aset itu menjadi satu ekosistem logistik bersepadu yang mampu menyokong perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan jangka panjang negara. - DagangNews.com






