PNM gerakkan Kempen Malaysia Membaca, sasaran jadi negara pembaca jelang 2030

26 Sep 2025 • 6:19 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan menggerakkan Kempen Malaysia Membaca sepanjang Oktober 2025 bersempena Karnival Baca Perdana yang bakal berlangsung sebulan penuh.

Berdasarkan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia, tahap pembacaan masyarakat menunjukkan perkembangan positif sejak 2005.

image is not available

Kempen Malaysia Membaca usaha kerajaan pupuk budaya ilmu

Difahamkan, sebelum ini rakyat hanya membaca sekitar 2 naskhah setahun, namun angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada 2014 dan kini mencecah 24 naskhah pada 2023.

Peningkatan ini menjadi bukti keberkesanan pelbagai usaha kerajaan dan rakan strategik dalam memupuk budaya ilmu serta minat membaca.

image is not available

Kempen Malaysia Membaca inisiatif jadi negara pembaca menjelang 2030

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan aspirasi utama Kerajaan MADANI ialah menjadikan Malaysia sebagai negara pembaca menjelang 2030.

“Aspirasi utama Kerajaan MADANI melalui Kementerian ialah menjadikan Malaysia sebagai negara pembaca menjelang tahun 2030.
“Aspirasi ini bukan sahaja menekankan aspek jumlah bahan bacaan, malah turut memberi tumpuan kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan, kritis, inovatif serta berdaya saing dalam ekonomi berteraskan ilmu.
“Kempen ini akan memperkukuh usaha ke arah melahirkan rakyat yang celik maklumat, bersikap terbuka dan sentiasa meningkatkan keupayaan diri melalui pembacaan,” ujarnya.

image is not available

Sepanjang kempen ini, pelbagai aktiviti disusun seperti program interaktif di Perpustakaan Negara Malaysia, aktiviti di 506 perpustakaan desa seluruh negara, selain Pesta Buku Negeri Sarawak yang berlangsung pada 27 September hingga 5 Oktober 2025 sebagai sebahagian daripada rangkaian Karnival Baca Perdana.

Kementerian turut menyeru rakyat untuk menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup harian dan berkongsi pengalaman membaca di media sosial menggunakan tanda pagar #MalaysiaMembaca.