Selari pelancaran global, kini Poco Malaysia turut telah mengumumkan penawaran Poco M7 secara rasmi untuk pasaran tempatan. Sebanyak dua model ditawarkan dengan perbezaan pada memori dan storan, bermula RM499.

Poco M7 hadir dengan skrin 6.9-inci LCD FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz, dikuasakan cip Snapdragon 685, memori sehingga 8GB RAM LPDDR4X, storan sehingga 256GB UFS 2.2, kamera utama 50+2 MP, dan kamera swafoto 8MP. Menjadi fokus utama pada telefon pintar ini adalah kapasiti baterinya, 7000mAh dengan sokongan pengecasan 33W.

Tubuh peranti melepasi piawaian kali air serta debu IP64, mempunyai pengimbas cap jari sisi, sokongan NFC dan pemancar infra mereka. Tidak setakat itu, Poco turut menjanjikan kemas kini 2 generasi Android, serta 4 tahun kemas kini tampalan sekuriti untuk telefon pintar ini. Ia dijual menggunakan Android 15 dengan pelancar HyperOS 2. Terdapat sokongan Google Gemini dan juga Circle to Search. Poco M7 walau bagaimanapun sekadar menyokong rangkaian 4G.
Di Malaysia, Poco M7 dengan 6GB RAM + 128GB storan ditawarkan pada harga RM499, sementara model 8GB RAM + 256GB storan pada harga RM599.




