Poco M7 Plus 5G dilancarkan hari ini dengan ia bukan sahaja dilengkapi cip Snapdragon 6s Gen 3 tetapi turut dipadankan dengan bateri sebesar 7000 mAh. Seperti M7 sebelum ini, ia dipasarkan sebagai peranti kelas pertengahan dengan sokongan rangkaian 5G.

Peranti turut hadir dengan skrin 6.9″ IPS LCD FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz, memori sebesar 8GN RAM, dan storan 128GB yang boleh ditambah sehingga 2TB menggunakan kad microSD. Seterusnya bateri 7000 mAh tadi menyokong pengecasan 33W sahaja.

Kamera utama sudut lebar sebesar 50MP dengan lensa sekunder mengesan kedalaman. Kamera swafoto pula sebesar 8MP. Tubuh melepasi piawaian kalis air serta debu IP64, dilengkapi pengimbas cap jari sisi, pemancar infra merah dan speaker mono. Sistem operasi yang digunakan ialah Hyper OS berasaskan Android 15. Poco akan memberikan sokongan dua versi Android dan empat tahun tampalan sekuriti.
Di India peranti dijual pada harga di bawah dengan pilihan warna Aqua Blue, Carbon Black dan Chrome Silver.
- Poco M7 Plus 5G (6/128GB) – ₹13,999 (~RM 673)
- Poco M7 Plus 5G (8/128GB) – ₹14,999 (~RM 721)



