
PARIS – Juara Tour de France (TdF) lima kali, Tadej Pogacar menyasarkan pingat emas pada perlumbaan lebuh raya menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun mengakui perlu merancang program perlumbaan dengan tepat bagi memastikan dia berada pada tahap terbaik ketika temasya itu berlangsung.
Pelumba Slovenia itu, yang meraih gangsa pada edisi Tokyo 2020 itu mahu menebus kekecewaan selepas tidak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sukan Olimpik sememangnya satu lagi perlumbaan yang ingin saya menangi. Ia hanya berlangsung setiap empat tahun, jadi saya perlu memastikan program saya dirancang dengan tepat untuk berada dalam keadaan terbaik ketika itu,” katanya.
Pogacar mengakui Sukan Olimpik bukanlah keutamaan pasukannya, namun berharap impiannya untuk memburu emas Olimpik tetap diberi pertimbangan oleh pihak pengurusannya.
“Perlumbaan jalan raya itu bukan sesuatu yang benar-benar menjadi kepentingan pasukan saya, tetapi ini adalah keinginan saya dan saya fikir pasukan akan mengambil kira perkara itu,” katanya.
Sebelum memikirkan LA28, Pogacar terlebih dahulu mahu melengkapkan koleksi Grand Tour dengan memburu kejuaraan Vuelta a Espana selepas memenangi TdF buat kali kelima.
Jika berjaya menjuarai Vuelta, Pogacar akan menjadi pelumba kelapan dalam sejarah memenangi ketiga-tiga gelaran keseluruhan Grand Tour.
Pemenang dua gelaran dunia itu turut meletakkan Paris-Roubaix sebagai sasaran utama selain mahu menambah satu lagi kejuaraan dunia dan kemenangan dalam perlumbaan berperingkat.
Untuk LA28, perlumbaan lebuh raya lelaki dijadualkan bermula di Venice Beach Boardwalk sebelum berakhir di Griffith Observatory, Los Angeles. -AGENSI
The post Pogacar buru emas Olimpik LA28 appeared first on Kosmo Digital.






