
PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan pengalaman dan kebijaksanaan membaca perlumbaan masih menjadi senjata paling ampuh apabila menewaskan barisan pelumba lebih muda untuk menghadiahkan pingat emas acara keirin pada penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel.
Atlet berusia 38 tahun itu menggunakan segala pengalaman dimiliki sepanjang lebih dua dekad di pentas antarabangsa untuk menoktahkan penantian emas Komanwel, sekali gus menghadiahkan emas ketujuh buat kontinjen negara di Velodrom Sir Chris Hoy, semalam.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata, dia sedar bukan lagi pelumba yang memiliki kuasa kayuhan terbaik, namun percaya keirin lebih banyak ditentukan oleh strategi berbanding kekuatan semata-mata.
“Dalam keirin, tidak semestinya pelumba yang mempunyai kuasa kayuhan paling tinggi atau berada pada prestasi terbaik akan menang kerana perkara paling penting ialah taktikal.
“Hari ini saya buktikan kepada dunia bahawa saya masih merupakan pelumba yang mempunyai taktikal terbaik dalam acara keirin,” katanya.
Menurut Azizulhasni, kemenangan itu menjadi lebih bermakna kerana ia hadir pada penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel selepas penantian panjang memburu emas yang sekian lama diimpikan.
“Saya memang berdoa bersungguh-sungguh setiap hari sepanjang berada di Glasgow kerana saya benar-benar mahu menamatkan Sukan Komanwel terakhir ini dengan pingat emas.
“Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya. Saya mahu buktikan kepada diri sendiri dan seluruh dunia bahawa pada usia 38 tahun saya masih mampu menjadi juara,” katanya.
Kemenangan itu turut menebus kekecewaan Azizulhasni yang pernah dilucutkan pingat emas keirin pada Sukan Komanwel Delhi 2010, selain melengkapkan koleksi pingatnya selepas sebelum ini hanya meraih dua gangsa pada edisi 2010 dan 2014. – UTUSAN
The post Penantian panjang buru emas Komanwel appeared first on Utusan Malaysia.






