
SEREMBAN: Polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad berhubung dakwaan kehadiran pengutip hutang yang mencari bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr. Fie.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, laporan berkenaan dibuat oleh Nubhan, 40, pada 23 Oktober lalu.
Menurutnya, laporan itu diklasifikasikan sebagai cover report dan setakat ini tiada kertas siasatan dibuka berhubung perkara berkenaan.
“Laporan polis kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘cover report’ dan setakat ini tiada kertas siasatan dibuka. Bagaimanapun, pihak polis memantau perkembangan kes ini.
“Pihak kami juga tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes ini kerana ia membabitkan hal peribadi dan sulit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Nubhan dilaporkan telah membuat laporan polis selepas mendakwa kediamannya didatangi beberapa individu yang mengaku sebagai pengutip hutang sebelum menuntut wang berjumlah lebih RM2 juta.
Penyanyi itu dilaporkan berkata, laporan polis itu dibuat demi memastikan keselamatan dirinya, anak-anak serta ahli keluarga susulan kejadian yang berlaku pada 23 Oktober lalu.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie mendirikan rumah tangga pada Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua pada 2 Disember tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3. – UTUSAN
The post Polis belum buka siasatan laporan Nubhan appeared first on Utusan Malaysia.





