
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di Langgak Duta di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penempatan anggota polis di kawasan kediaman berkenaan kekal seperti yang diumumkan sebelum ini berikutan pihaknya belum menerima sebarang maklumat lanjut.
“Jika terdapat perkembangan atau maklumat terkini yang mengesahkan tahanan rumah Datuk Seri Najib akan dilaksanakan di Langgak Duta, kami akan menambah kekuatan anggota,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau turut mengesahkan pihaknya belum menerima maklumat mengenai tarikh atau masa Najib akan dipindahkan dari Penjara Kajang.
“Belum lagi dan pihak saya belum menerima sebarang maklumat,” katanya.
Semalam, Anuar Bakri memaklumkan sebuah balai polis bergerak ditempatkan berhampiran kediaman Najib di Langgak Duta bermula pukul 7 pagi hari ini sebagai persediaan keselamatan sekiranya berlaku pemindahan bekas Perdana Menteri itu.
Penempatan berkenaan bertujuan melancarkan aspek keselamatan sepanjang proses pemindahan, selain mengawal kehadiran media tempatan dan asing serta penyokong, termasuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Dalam pada itu, Anuar Bakri menjelaskan tanggungjawab mengawasi Najib sekiranya beliau menjalani tahanan rumah adalah di bawah Jabatan Penjara Malaysia dan bukan PDRM.
Sabtu lalu, enam pegawai Jabatan Penjara dilaporkan hadir ke kediaman berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.
Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE
The post Polis belum terima pengesahan rasmi tahanan rumah Najib appeared first on Kosmo Online.






