ALOR SETAR - Polis sedang giat mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes tikam seorang wanita di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah di sini pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan leher selepas dipercayai ditikam ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Mazda 3.
**media[3524098]**
Menurutnya, suspek yang dikenali mangsa dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian dan polis kini turut mengesan senjata yang digunakan dalam insiden berkenaan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita percaya kedua-dua mereka saling mengenali kerana menaiki kenderaan yang sama ketika kejadian berlaku.
“Mangsa yang bekerja sebagai ejen hartanah telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada pagi Isnin.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan terbabit adalah milik mangsa dan wanita itu berada di bahagian pemandu semasa kejadian.
Tambahnya, polis kini sedang mengesan suspek berusia 32 tahun yang juga bekerja sebagai ejen hartanah bagi membantu siasatan.
“Polis menyeru suspek supaya tampil menyerah diri dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu siasatan,” katanya.
**media[3524097]**
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Dalam pada itu, Syed Basri turut menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.






