
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang ditahan polis kerana menikam seorang wanita di bahagian leher dalam sebuah kereta malam tadi direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman sehingga 24 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Shifa Mohd Hamzah di lokap Mahkamah Alor Setar, dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek berusia 32 tahun itu tiba di lokap mahkamah pada jam 8.20 pagi menaiki kenderaan polis dengan memakai pakaian lokap berwarna oren.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata suspek ditahan di kawasan masjid di Taman Uda, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, pada jam 1.50 pagi tadi.
Beliau berkata suspek ditahan kira-kira lima jam selepas kejadian.
Dalam insiden tersebut, seorang wanita berusia 39 tahun parah ditikam di bahagian kanan leher oleh seorang lelaki yang dikenalinya di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.
Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.19 malam dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan dan pihak polis kini sedang mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut. – Getaran, 18 Mei 2026






