
Honda C100B lesap hanya dalam 15 saat
Polis Buru Lelaki Curi Motosikal Tak Sampai 15 Saat Di Siburan. Polis kini sedang memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes mencuri sebuah motosikal di Siburan, Sarawak, pada hari Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kes itu pada jam 10.30 malam pada hari kejadian.
“Mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun melaporkan bahawa motosikal Honda C100B warna biru miliknya telah dicuri di depan sebuah kedai di Pasar Siburan, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jaw Shyong berkata, siasatan polis mendapati suspek adalah seorang lelaki berusia 40-an dengan tinggi kira-kira 160cm.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memasang kunci tambahan pada kenderaan mereka.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di nombor 082-862233.
Video mengenai kes ini juga telah tersebar di media sosial sejak hari Khamis yang menunjukkan rakaman CCTV di tempat kejadian.
Berdasarkan video itu, suspek yang memakai topi hitam dan membawa beg sandang kelihatan merayau di sekitar motosikal tersebut yang diparkir di situ.
Lelaki itu kemudian berpusing balik dan dengan cepat melarikan motosikal itu.
Suspek hanya mengambil masa kurang daripada 15 saat untuk melakukan perbuatan itu.

