Polis buru lelaki terlibat kes pecah rumah, samun sekitar Tanjung Bungah

5 Aug 2026 • 4:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis buru lelaki terlibat kes pecah rumah, samun sekitar Tanjung Bungah

GEORGE TOWN: Polis kini sedang giat menjalankan operasi khas untuk mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan beberapa kes jenayah di sekitar Tanjung Bungah sejak bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, sehingga kini, empat laporan polis mengenai kegiatan jenayah itu telah diterima iaitu antara tempoh 28 Julai hingga 2 Ogos lalu.

“Empat kertas siasatan juga telah dibuka masing-masing membabitkan satu kes pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, kes samun mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, kes pencerobohan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan satu kes kecurian membabitkan alat kawalan jauh pintu pagar automatik.

“Dua daripada kes itu pula melibatkan jumlah kerugian kira-kira RM17,000 manakala selebihnya tiada kerugian,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, di sebalik semua kes jenayah itu, tahap keselamatan di sekitar kawasan Tanjung Bungah adalah terkawal kerana suspek dipercayai melakukan jenayah secara bersendirian dan hanya menunggu peluang untuk mencuri jika ada.

Bagaimanapun katanya, sebagai langkah pencegahan, rondaan pada awal pagi di kawasan perumahan di situ akan dipertingkatkan untuk menjamin keselamatan penduduk.

“Ketika ini, suspek masih diburu dan polis percaya lelaki itu akan ditangkap dalam masa yang terdekat. Justeru, orang ramai yang ada maklumat mengenai kes-kes atau suspek tersebut diminta tampil membantu siasatan pihak polis,” katanya. – UTUSAN

The post Polis buru lelaki terlibat kes pecah rumah, samun sekitar Tanjung Bungah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved