Polis buru lima lelaki kes tembak penternak lembu

20 Apr 2026 • 8:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan di Ladang Kemahang, Tanah Merah awal pagi Isnin.

TANAH MERAH - Polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan terhadap seorang penternak lembu di Ladang Kemahang di sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan curi lembu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.26 pagi.

Menurutnya, sebelum kejadian, pengadu yang juga jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak jam 1.30 pagi.

"Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan lima lelaki dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand.

"Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri bagi menyelamatkan diri sejurus kejadian berlaku.

“Bagaimanapun, Mohd Khairul Amri terkena tembakan di bahagian dagu,” katanya.

Mohd Haki berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan kini menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan.

Ujarnya, dalam kejadian sama, sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa turut dilarikan salah seorang suspek yang dipercayai warga tempatan.

Katanya, kesemua suspek dianggarkan seramai lima orang dan usaha mengesan serta menahan mereka sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved