Polis buru suspek serangan bahan letupan di dua kedai serbaneka

21 Sep 2026 • 6:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis buru suspek serangan bahan letupan di dua kedai serbaneka
Dua kejadian itu mempunyai modus operandi hampir sama apabila dua suspek lelaki bertopeng dan berpakaian gelap membaling objek dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar ke dalam kedai. Gambar hiasan

KUCHING - Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek insiden khianat dengan api serta objek disyaki bahan letupan mercun di kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman, semalam.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamad Zainal Abdullah yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati dua kejadian itu mempunyai modus operandi hampir sama apabila dua suspek lelaki bertopeng dan berpakaian gelap memasuki premis sebelum membaling objek dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar ke dalam kedai.

"Tindakan itu menyebabkan letupan, kerosakan harta benda dan kebakaran di satu lokasi kejadian. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Zainal berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang giat menjalankan siasatan termasuk menganalisis bahan digunakan, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesan sebarang kaitan antara dua kejadian itu.

"Berkaitan dakwaan kedai serbaneka itu menjual tambah nilai judi dalam talian juga akan disiasat dan diambil tindakan termasuk memohon pihak berkuasa tempatan membatalkan lesen perniagaan,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved