Polis buru suspek tergamak pukul isteri depan pusat hiburan

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 8:46 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

MELAKA — Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya dalam satu kejadian di sebuah pusat hiburan di Kota Shahbandar di sini, yang turut tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.17 pagi, 16 Mac lalu daripada seorang wanita berusia 51 tahun yang juga ibu kepada mangsa.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam, 15 Mac di sebuah pusat hiburan di Kota Shahbandar apabila mangsa dipercayai dipukul oleh suaminya.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek bertindak agresif dengan memukul, menampar, menarik rambut serta menghentak kepala mangsa ketika wanita itu berada dalam keadaan terbaring,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan ditempatkan di Zon Merah sebelum disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala serta pipi kanan.

Dzulkhairi berkata, mangsa dipercayai kini berada bersama suspek dan anak lelaki mereka yang berusia dua tahun.

Sehubungan itu, katanya, usaha mengesan kedua-dua mereka sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatan mangsa dan kanak-kanak terbabit terjamin.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan. – MYBERITA