Remaja perempuan 13 tahun hilang di Ampang

26 Mar 2026 • 1:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Rabu.

AMPANG – Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya hilang dari rumah di Bandar Baru Ampang pada jam 8 malam.

“Pengadu membuat pemeriksaan di dalam rumah sebelum mendapati remaja itu telah keluar dengan membawa beg pakaian.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan keluarga,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairul Anuar berkata, remaja itu berketinggian kira-kira 160 sentimeter, berat 56 kilogram, berbadan kurus dan berkulit hitam manis.

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai remaja terbabit supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42897222.

“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Alia Dyana Raimi di talian 017-6515201,” katanya.

Khairul Anuar turut menasihatkan orang awam khususnya ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak dalam jagaan masing-masing serta tidak membenarkan mereka bersendirian, selain menghubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya berlaku sebarang kejadian.