Suami Dijel 4 Bulan, Mengaku Salah Kasari & Langgar Isteri Hamil

LocalFamily & Parenting
26 Mar 2026 • 3:20 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang penghantar makanan menerima padah selepas tindakannya membelasah isterinya yang sedang hamil sebelum melanggar kepala mangsa dengan motosikal, apabila dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Mengaku bersalah

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.

image is not available

Sengaja cederakan isteri berusia 20 tahun

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 20 tahun dengan menumbuk bahagian belakang kepala mangsa.

Dia juga bertindak menampar muka, memukul kepala serta menolak mangsa sehingga jatuh dalam kejadian berasingan di lokasi sama.

Perbuatan tersebut dilakukan di dalam dan kaki lima sebuah premis pusat karaoke di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar, Melaka Tengah sekitar jam 3.59 pagi hingga 4.06 pagi pada 15 Mac lalu.

image is not available

Susulan kejadian itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Difahamkan, ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menghubungi anaknya yang keluar rumah bersama bayi lelaki berusia setahun dua bulan.

Pemeriksaan rakaman CCTV kemudian mendapati tertuduh bertindak agresif apabila memukul, melempang, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring menggunakan motosikal.

Artikel lain: Cemburu Buta? Suami Kasari Isteri Hamil Kembar, Siap Langgar Dengan Motosikal!

image is not available

Mangsa dibawa ke Hospital Melaka menaiki ambulans dan dirawat di Zon Merah, manakala suspek ditahan empat hari kemudian.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan sudah insaf serta memaklumkan ibunya menghidap strok.

Namun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal kerana mangsa merupakan isteri tertuduh yang sepatutnya dilindungi.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan bermula 19 Mac lalu, dengan kedua-duanya berjalan serentak.

Sebelum ini, video kejadian berdurasi lebih satu minit tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan ramai.

Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)

The post Suami Dijel 4 Bulan, Mengaku Salah Kasari & Langgar Isteri Hamil appeared first on Borak Daily.