
POLIS Evo meraikan ulang tahun ke-10 sekali gus menandakan satu dekad filem aksi kepolisan terbitan Astro Shaw itu.
Mencipta legasi kukuh dalam industri filem Malaysia kejayaan tiga filem di bawah francais berkenaan membuktikan Polis Evo telah mengangkat ‘standard’ filem tempatan melalui kekuatan penceritaan, kualiti visual, strategi pemasaran yang kreatif serta kutipan box-office yang memberangsangkan.
Acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Tahun baru-baru ini menghimpun kesemua barisan pelakon Polis Evo dari ketiga-tiga sekuel.
Berlangsung di TGV Cinemas antara pelakon yang hadir ialah Zizan Razak, Shaheizy Sam, Nora Danish, Hasnul Rahmat, Ayie Hushairy, Fauzi Nawawi, Pablo Amirul, Farali Khan, Ezatty Abdullah, Riz Amin, Iman Corrine, Zulin Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Jasper Supayah, Dennis Yin dan Ungku Hariz .
Tidak ketinggalan Penerbit Eksekutif Polis Evo Raja Jastina Raja Arshad selaku pencetus idea asal dan penulis Joel Soh, Anwari Ahsraf, Kyle Goonting serta Pengarah Polis Evo Syafiq Yusof, Ghaz Abu Bakar dan Andre Chiew.
Sejak filem pertama ditayangkan pada 2015 Polis Evo melakar sejarah sebagai satu-satunya francais filem tempatan yang masih diteruskan dalam tempoh satu dekad dengan kejayaan tiga buah filem yang kesemuanya mencatat kutipan box office luar biasa.
Filem pertama Polis Evo (2015) mencatat filem nombor satu di Malaysia tahun tersebut dengan kutipan RM17.8 juta manakala Polis Evo 2 (2018) meneguhkan lagi statusnya sebagai sekuel aksi tempatan terlaris dengan kutipan RM22.45 juta.
Polis Evo 3 (2023) sekali lagi mencatat sebagai filem nombor satu di Malaysia tahun itu dan kini tersenarai dalam Top 5 filem tempatan dengan kutipan tertinggi sebanyak RM54 juta.
Ulang tahun ke-10 Polis Evo tidak sahaja meraikan pencapaian lalu tetapi turut menandakan permulaan kepada babak baharu francais ini.
Astro Shaw terus komited untuk memperkasakan Polis Evo dengan menampilkan filem terbaru dan premium siri di bawah universe Polis Evo.
Dalam pada itu francais Polis Evo juga telah menaikkan martabat filem tempatan melalui kekuatan penceritaan yang segar.
Menerusi strategi pemasaran Polis Evo merangkul Anugerah Emas Malaysia untuk Kempen Pemasaran Filem di PMAA Dragons Malaysia sekali gus menjadikan Astro Shaw sebagai syarikat korporat pertama memenangi anugerah tersebut dalam kategori itu.
Sementara itu Polis Evo bukan sahaja mencetuskan fenomena budaya pop Malaysia dengan watak ikonik seperti Inspektor Khai dan Inspektor Sani tetapi menjadi pemangkin penting dalam melahirkan generasi baharu bakat industri.
Francais terbabit telah membuka ruang besar buat penulis dan pencetus idea asal seperti Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf yang bermula bersama Polis Evo sebelum berkembang menjadi antara pengarah dan penulis berpengaruh.



