Polis Giat Kesan Dua Lelaki Serang Anak Rafizi, Motif Insiden Masih Disiasat

LocalPolitics
15 Aug 2025 • 5:37 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis masih giat memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, kelmarin.

Polis masih siasat motif insiden

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan juga merangkumi mesej ugutan yang diterima Rafizi dan isterinya susulan insiden tersebut.

image is not available

Menurut beliau, sehingga kini, suspek dan motif kejadian masih belum dikenal pasti, namun siasatan terperinci sedang dijalankan.

“Kita masih mengumpul maklumat melalui rakaman percakapan saksi dan bukti lain yang berkaitan. Motif hanya dapat dipastikan selepas suspek dikenal pasti dan ditahan.

“Setakat ini, siasatan turut memanfaatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, namun rakaman itu hanya membantu secara sebahagian,” katanya.

Shazeli turut memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi mengesan pemilik talian yang menghantar mesej ugutan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

image is not available

Foto: The Star

Setakat ini, polis sudah merakam keterangan daripada enam individu termasuk anak lelaki Rafizi yang menjadi mangsa serangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, mangsa berusia 12 tahun itu didakwa diserang dan disuntik jarum mengandungi cecair oleh dua lelaki menaiki motosikal sebelum mereka melarikan diri.

Sumber: Berita Harian (Safeek Affendy Razali)