
KOTA BHARU: Polis Kelantan menafikan suspek yang menembak lima anggota pasukan ranjer di Narathiwat, Thailand melarikan diri ke negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dakwaan bahawa setiap insiden tembak-menembak atau keganasan di selatan Thailand akan menyebabkan suspek melarikan diri ke Kelantan sering dibangkitkan, namun sehingga kini tiada bukti yang mengaitkan perkara tersebut.
Katanya, anggota pasukan cawangan khas di seluruh daerah serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sentiasa memantau perkembangan keselamatan di kawasan sempadan, namun tidak mengesan sebarang pergerakan suspek seperti didakwa.
“Setiap kali berlaku kejadian tembak-menembak atau pergaduhan di sana, mereka kata suspek lari ke sini. Tetapi bukti tidak ada.
“Pasukan cawangan khas bersama pasukan risikan di daerah dan IPK sentiasa menjalankan risikan. Setakat ini memang tidak ada bukti mereka melarikan diri ke Kelantan. Kalau benar ada, berilah nama kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di JPN Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sentiasa diperketatkan sejak awal beliau mengetuai pasukan dalam membendung penyeludupan dadah dan barangan, malah menghalang sebarang jenayah rentas sempadan.
Katanya, kawalan tersebut turut menepis persepsi bahawa Kelantan menjadi laluan mudah kepada penjenayah yang melarikan diri dari selatan Thailand.
“Sebab itu sejak saya datang ke sini, saya tekankan kawalan dan penutupan sempadan. Isunya bukan sekadar penyeludupan dadah atau barang, tetapi dakwaan kononnya penjenayah dari Thailand melarikan diri ke Kelantan.
“Apabila kawalan sempadan diperketatkan, perkara seperti itu tidak berlaku,” ujarnya.
Mohd. Yusoff turut menyambut baik langkah kerajaan Thailand yang merancang membina pagar keselamatan sepanjang kira-kira 90 kilometer di kawasan sempadannya kerana usaha itu dilihat mampu memperkukuh kawalan keselamatan di kedua-dua negara.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45 terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, anggota renjer yang terbunuh ialah Sarjan Mejar Theerayut Somakerd, 43; renjer Sakiriya Chehna, 23; renjer Wimol Dabthong, 43; renjer Natthasit Kaewsena, 34; dan renjer Salahudin Pi, 34.-UTUSAN
The post Polis Kelantan nafi suspek tembak lima ranjer Thailand lari ke negeri ini appeared first on Utusan Malaysia.






