Polis Kelantan Sahkan Akan Ada Lagi Tangkapan Baru Pempengaruh & Pengasas Kosmetik Terlibat Kes Dad*h

Entertainment
18 Jul 2025 • 3:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan bakal ada penangkapan baharu yang membabitkan pempengaruh media sosial dan juga pengasas produk kosmetik yang disyaki terbabit dalam aktiviti dadah.

Katanya, buat masa sekarang siasatan masih lagi dijalankan dan tindakan bakal diambil terhadap individu yang didapati bersalah, tanpa mengira populariti atau status mereka.

Tambah beliau, selain tokoh awam, pihak polis akan memfokuskan kepada pelaku utama dalam rangkaian pengedaran dadah.

“Beberapa pempengaruh media sosial dan pengasas produk kosmetik dari negeri ini masih berada di bawah pemantauan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah.”

“Insya-Allah, akan ada tangkapan baharu tidak lama lagi. Mereka yang terbabit dalam kegiatan dadah ini akan kami kesan satu demi satu.”

“Kita bukan hanya lihat kepada pempengaruh atau pengasas kosmetik saja, sebaliknya juga pengedar dan dalang utama di sebalik kegiatan ini tidak akan terlepas.”

Amaran tersebut dibuat susulan dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif terhadap sindiket dadah di Kelantan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

image is not available

Menurut sumber, sejak awal tahun, polis Kelantan telah melancarkan beberapa operasi yang memberikan impak besar, termasuk Ops Taring Wawasan yang membawa kepada penangkapan besar-besaran dan rampasan dadah berskala besar seperti daun ketum, syabu serta pil ekstasi.

Malah terdapat beberapa serbuan telah berjaya mendedahkan cubaan menyeludup dadah untuk merentasi sempadan antara Malaysia-Thailand, ia juga menerusi kaedah kreatif yang digunakan untuk melakukan penyeludupan seperti menyembunyikan dadah dalam daging sejuk beku dan kandang haiwan ternakan.

Dalam pada itu, ada beberapa individu yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang telah melarikan diri dari negeri ini kerana dipercayai bimbang ditangkap pihak berkuasa selepas operasi besar-besaran dilakukan.

Sumber : Berita Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.