KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam penularan beberapa video memaparkan tindakan seorang lelaki mengusik dan mengejar dua kanak-kanak warga asing di Jalan Kampung Losong Masjid, di sini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, siasatan awal mendapati video yang tular di platform TikTok itu sengaja dimuat naik bagi tujuan menghasilkan kandungan media sosial semata-mata.
Menurutnya, semakan polis mendapati tiga video yang tular itu dirakam pada tarikh berbeza iaitu pada 28 Mac 2024, 10 Mei 2024, dan 25 Disember 2024.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Mohd Khairi memberitahu, kejadian berpunca apabila seorang lelaki Melayu mendakwa dua kanak-kanak warga asing yang menetap di kampung berkenaan sering bermain di kawasan Jeti Bot Losong Masjid.
"Kanak-kanak tersebut didakwa mengganggu peralatan serta bot milik lelaki berkenaan. Tindakan mengusik dan mengejar itu dilakukan dengan tujuan meminta mereka beredar dari kawasan jeti.
"Dalam masa yang sama, kejadian itu telah dirakam oleh rakannya sebelum dimuat naik ke aplikasi TikTok. Individu terbabit mendakwa tidak menyangka video tersebut akan tular sehingga mengundang pelbagai reaksi serta kecaman orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, susulan itu, polis telah mengambil tindakan dengan menasihati pihak yang terlibat agar tidak mengulangi perbuatan sedemikian pada masa hadapan.
Mohd Khairi berkata, setakat kenyataan ini dikeluarkan, pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut.
Bagaimanapun, katanya, PDRM akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur kesalahan di bawah undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang bagi mengelak penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan keresahan, fitnah atau menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, bagi kesalahan itu individu terbabit boleh boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Kerjasama dan sikap bertanggungjawab daripada setiap individu amat penting dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat," katanya.






