
SEMPORNA: Polis menahan dua warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan dadah menerusi satu operasi di sebuah ladang di Kampung Kalumpang pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Supt Tan Hiap Wah berkata suspek pertama ditahan di dalam sebuah pondok di kawasan ladang berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki berusia 20 tahun itu menemukan 25 paket disyaki mengandungi syabu yang disembunyikan di dalam bekas makanan.
“Semua rampasan seberat 7.60 gram dengan anggaran nilai RM750. Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Tan seorang lagi warga asing berusia 50 tahun turut ditahan pada hari yang sama di lokasi berasingan dalam kawasan ladang tersebut.
Katanya pemeriksaan ke atas beg galas milik suspek menemukan satu paket lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 4.41 gram dengan anggaran nilai RM450.
Beliau berkata suspek kedua ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya.
Sementara itu Tan menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Katanya operasi dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti dadah selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan daerah itu kekal aman dan bebas daripada ancaman dadah.






