ISKANDAR PUTERI - Seorang pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila dipercayai dicederakan tiga penumpang lelaki yang dipercayai mabuk dalam kejadian di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular berdurasi sembilan saat berkaitan kejadian itu yang dimuat naik menerusi aplikasi Facebook.
Menurutnya, polis turut menerima laporan daripada mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 56 tahun pada 10 Jun lalu kira-kira jam 11.09 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati pada 9 Jun kira-kira jam 9.30 malam, mangsa mengambil tiga penumpang lelaki yang dipercayai warga asing.
"Ketika dalam perjalanan, mangsa menegur ketiga-tiga penumpang berkenaan kerana dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan membuat bising di dalam kenderaan.
"Bagaimanapun, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan teguran itu sebelum bertindak mencederakan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Taman Tan Sri Yaakob, Skudai dan polis kini giat mengesan ketiga-tiga suspek yang masih bebas.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
"Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan jenayah atau tindakan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486 bagi membantu siasatan," katanya.
Sebelum itu tular video memaparkan seorang pemandu e-hailing seakan dicekik oleh lelaki warga asing sehingga keluar darah dari mulut dan bahagian mata luka.





