Polis kenal pasti petugas KLIA disyaki terlibat kes juruterbang seludup dadah ke Indonesia

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 1:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis kenal pasti petugas KLIA disyaki terlibat kes juruterbang seludup dadah ke Indonesia

SHAH ALAM, 4 OGOS: Polis telah mengenal pasti seorang individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes juruterbang Malaysia yang disyaki menyeludup dadah jenis ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata individu berkenaan yang merupakan antara petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipanggil dalam masa terdekat bagi dirakam keterangan.

“Individu berkenaan merupakan antara petugas yang terlibat membuat saringan di KLIA, kita akan panggil dia untuk soal siasat dan kalau ada keperluan kita akan buat tangkapan,” katanya pada Sidang Media Kejayaan JSJN Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata hasil siasatan awal setakat ini mendapati suspek mendapatkan dadah berkenaan di sebuah apartment di Ampang selain siasatan sedang menjurus kepada pelbagai spektrum termasuk aspek keselamatan di pintu masuk lapangan terbang.

“Semakan turut mendapati suspek telah hadir ke KLIA pada pagi dan mendaftar masuk bagasi mengandungi dadah berkenaan dan meninggalkannya di KLIA sebelum terbang ke Kota Kinabalu dan berpatah balik ke Kuala Lumpur dan bertolak ke Jakarta dengan membawa bagasi terbabit,” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata pihaknya kini sedang menunggu makluman daripada pihak Polis Republik Indonesia (POLRI) untuk menggerakkan pegawainya ke negara berkenaan bagi sesi soal siasat.

Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Menurut POLRI, pemeriksaan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved