
KENINGAU: Polis menerima 62 laporan sejak 2024 berkaitan dakwaan penipuan urusan jual beli tanah yang melibatkan 19 tanah induk dengan 12 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Anak Garai berkata sebelum isu berkenaan tular di media sosial, pihaknya hanya menerima 22 laporan polis yang melibatkan sembilan tanah induk.
“Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding dakwaan yang tersebar di media sosial sebelum ini yang menyatakan lebih 50 laporan polis telah dibuat.
“Daripada 22 laporan yang diterima pada fasa pertama itu, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka dan disiasat secara mendalam,” katanya.Beliau berkata selepas isu berkenaan tular di media sosial, hasil nasihat dan peningkatan kesedaran orang ramai, polis menerima tambahan 40 laporan polis baharu yang melibatkan 10 tanah induk.
“Susulan itu sebanyak lapan lagi kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat kes-kes berkenaan,” katanya. Secara keseluruhan katanya IPD Keningau kini mengendalikan 19 tanah induk dengan 62 laporan polis rasmi yang didaftarkan.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan terhadap semua laporan yang diterima masih diteruskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.






