Polis lepas beberapa tembakan ketika kejar penjenayah, suspek miliki 37 rekod jenayah

31 Aug 2026 • 7:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis lepas beberapa tembakan ketika kejar penjenayah, suspek miliki 37 rekod jenayah
Polis melepaskna beberapa tembakan ketika mengejar penjenayah.

KUALA LUMPUR - Tindakan sebuah kenderaan yang cuba melarikan diri ketika dikejar pihak polis membongkar kegiatan mencuri kabel selepas pelbagai barangan dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan itu ditemukan dalam kenderaan terbabit pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, sebuah Ford Ranger berwarna hijau dikesan mencurigakan oleh anggota Polis Trafik Lebuhraya Kesas Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, anggota polis kemudian memberikan isyarat supaya kenderaan terbabit berhenti namun suspek terus memecut.

Beliau berkata, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan berkenaan ketika mengejarnya dari Tol Awan Besar menghala ke Klang (Barat) sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling.

"Aksi itu berlangsung kira-kira 30 minit sebelum kenderaan suspek berhenti di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi.

"Suspek bagaimanapun tidak memberikan kerjasama dan cuba melanggar anggota polis sebelum tembakan dilepaskan ke arah tayar belakang kanan kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fadil berkata, suspek kemudian melarikan kenderaan memasuki Jalan Hang Tuah 4 sebelum hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta Mazda berwarna kelabu.

"Susulan kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi suspek yang dipercayai pemandu kenderaan telah melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan menemukan pelbagai barang dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel selain kabel yang dipercayai telah dicuri," katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek yang ditahan mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan turut dikesan sebagai orang dikehendaki.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat pada 1 September.

"Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri dan kes masih dalam siasatan," katanya.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved