
Polis melepaskan beberapa das tembakan di Sri Petaling sebelum menahan seorang lelaki yang mempunyai 37 rekod jenayah lampau kerana disyaki mencuri kabel.
KUALA LUMPUR: Polis melepaskan beberapa das tembakan sebelum menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel selepas kenderaan dinaikinya cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di sekitar Sri Petaling, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi ketika anggota Polis Trafik Lebuhraya Kesas, Bukit Aman sedang melakukan rondaan sebelum mengesan sebuah kenderaan Ford Ranger berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata anggota polis kemudian memberikan isyarat supaya pemandu kenderaan itu berhenti, namun lelaki berkenaan melarikan diri menyebabkan polis mengejar kenderaan itu dari Tol Awan Besar menghala ke Klang (Barat) sebelum berakhir di Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling.
“Usaha mengejar itu berlangsung kira-kira 30 minit sebelum kenderaan berkenaan berhenti di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata lelaki berkenaan bagaimanapun tidak memberikan kerjasama dan cuba melanggar anggota polis sebelum beberapa das tembakan dilepaskan oleh pihak polis.
Beliau berkata lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan memandu kenderaan berkenaan sebelum memasuki Jalan Hang Tuah 4, namun hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta Mazda berwarna kelabu.
Katanya, selepas kenderaan itu berhenti, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun, manakala pemandu kenderaan berkenaan berjaya melarikan diri.
“Tiada mangsa yang cedera semasa kejadian ini,” katanya.
Fadil berkata pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan pelbagai barang dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel, selain kabel yang dipercayai telah dicuri.
Katanya, semakan mendapati lelaki yang ditahan mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan dikesan sebagai orang dikehendaki serta polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki yang melarikan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat esok.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999, Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee 03-20719999 atau balai polis berdekatan.





