Polis Marin Sabah Gagalkan Cubaan Seludup Diesel Bernilai RM1.2 Juta Di Inanam

4 Feb 2025 • 1:01 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Rampasan diesel RM1.2 juta, sindiket seludup kena ‘checkmate’ dengan Polis Marin Sabah

Polis Marin Sabah Gagalkan Cubaan Seludup Diesel Bernilai RM1.2 Juta Di Inanam. Pasukan Polis Marin Sabah berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup diesel bersubsidi bernilai lebih RM1.2 juta dalam satu serbuan tengah hari di sebuah depoh minyak di Inanam pada Isnin lalu.

Dalam operasi khas yang diberi nama Ops Taring Landai, seramai enam lelaki ditahan selepas pihak berkuasa menemui sebanyak 102,300 liter diesel bersubsidi yang disimpan secara tidak sah.

image is not available
Polis Marin Sabah Gagalkan Cubaan Seludup Diesel Bernilai RM1.2 Juta Di Inanam

Menurut Komander Polis Marin Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, serbuan itu turut menyaksikan rampasan beberapa buah lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan tersebut.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan yang digunakan dianggarkan sekitar RM1.239 juta,” katanya, menurut laporan media tempatan.

Diesel Subsidi Disimpan Tanpa Dokumen Sah

Ketika serbuan dilakukan, pasukan polis marin menemui diesel yang disimpan secara tidak sah tanpa sebarang dokumen sah daripada pengendali premis.

ACP Nazri turut memaklumkan bahawa enam individu yang ditahan dalam serbuan itu dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an.

Kesemua suspek serta barangan yang dirampas telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Serbuan Kedua Dalam Tempoh Seminggu

Kejayaan ini merupakan serbuan kedua dalam tempoh seminggu selepas pihak berkuasa turut merampas sejumlah 93,100 liter diesel bersubsidi dalam serbuan terdahulu di sekitar bandar ini. Operasi berkenaan juga menyaksikan beberapa kenderaan dirampas serta penahanan 10 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa operasi membanteras penyeludupan diesel subsidi akan terus diperketatkan bagi memastikan bekalan bahan api yang sepatutnya dinikmati rakyat tidak jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Dengan nilai diesel yang semakin tinggi, kes penyeludupan bahan api subsidi menjadi semakin serius. Rakyat dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyeludupan bahan api bersubsidi.

Baca juga artikel yang telah kami terbitkan mengenai kes-kes penyeludupan di Sarawak: