Polis masih cari pemilik bagasi ‘pink’ di ICQS Bukit Kayu Hitam

18 Aug 2026 • 4:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis masih cari pemilik bagasi ‘pink’ di ICQS Bukit Kayu Hitam

SUNGAI PETANI: Polis masih menjalankan siasatan berhubung pemilik sebuah bagasi yang sebelum ini mencetuskan kegemparan kerana disyaki mengandungi bahan letupan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan bagi mengenal pasti pemilik bagasi berwarna merah jambu itu antara lain bagi mengetahui tujuan ia ditinggalkan, termasuk sama ada perbuatan itu disengajakan atau sebaliknya.

“Kita masih menyiasat, kita hendak tahu siapa pemiliknya. Dalam konteks kejadian ini, tidak ada ugutan, nota ancaman atau panggilan bom.

“Namun begitu, keadaan beg yang ditinggalkan mencurigakan menyebabkan kita membuat imbasan dan ia mendatangkan sedikit kegemparan,” katanya pada Program Amal Konvoi Charity Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbiker’s Club sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69, di sini hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah digerakkan ke ICQS Bukit Kayu Hitam selepas sebuah bagasi tanpa pemilik dikesan mengandungi imej disyaki bahan letupan dan dadah menerusi mesin pengimbas.

Sementara itu, Adzli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang identiti pemilik pada bagasi itu melainkan barangan harian termasuk pakaian wanita, alat kosmetik, pengering rambut, ubat gigi, berus gigi dan losen.

Beliau berkata, tiada sebarang petunjuk yang boleh mengaitkannya dengan pemilik warga tempatan atau warga asing.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik bagasi berkenaan agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan dan menjelaskan sebab ia ditinggalkan di lokasi tersebut.

“Kalau ada pemilik, sebaiknya datang jumpa pihak polis berdekatan. Kita cuma hendak tahu sebab apa ia ditinggalkan. Sebab itu kita buka kertas siasatan,” katanya.

Tambahnya, walaupun pemeriksaan tidak menemukan sebarang ancaman, siasatan tetap diteruskan bagi memastikan tujuan bagasi itu ditinggalkan dan menutup segala kemungkinan berkaitan kejadian berkenaan. – UTUSAN

The post Polis masih cari pemilik bagasi ‘pink’ di ICQS Bukit Kayu Hitam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved