
SUNGAI PETANI – Polis sedang mengesan pemilik sebuah bagasi ditinggalkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang sebelum ini mencetuskan kegemparan kerana disyaki mengandungi bahan letupan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti pemilik bagasi berwarna merah jambu tersebut serta tujuan ia ditinggalkan, termasuk sama ada perbuatan itu disengajakan atau sebaliknya.
“Kita masih menyiasat, kita nak tahu siapa pemiliknya. Dalam konteks kejadian ini, tidak ada ugutan, nota ancaman atau panggilan bom.
“Namun begitu, keadaan beg yang ditinggalkan itu mencurigakan menyebabkan kita membuat imbasan dan ia mendatangkan sedikit kegemparan,” katanya kepada pemberita pada Program Amal Konvoi Charity Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbiker’s Club sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang identiti pemilik pada bagasi berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati ia mengandungi barangan harian termasuk pakaian wanita, alat kosmetik, pengering rambut, ubat gigi, berus gigi dan losen.
“Apabila kita buka, kita panggil forensik, tidak ada sebarang identiti kepada pemilik. Isi dia seperti pakaian wanita, alat-alat kosmetik, pengering rambut, ubat gigi dan barang-barang kegunaan biasa,” ujarnya.
Beliau berkata, tiada sebarang petunjuk yang boleh mengaitkannya dengan pemilik warga tempatan atau warga asing.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik bagasi berkenaan agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan dan menjelaskan sebab ia ditinggalkan di lokasi tersebut.
“Kalau ada pemilik, sebaiknya datang jumpa pihak polis berdekatan. Kita cuma nak tahu sebab apa ia ditinggalkan. Sebab itu kita buka kertas siasatan,” katanya.
Tambahnya, walaupun pemeriksaan tidak menemukan sebarang ancaman, siasatan tetap diteruskan bagi memastikan tujuan bagasi itu ditinggalkan dan menutup segala kemungkinan berkaitan kejadian berkenaan.
Kosmo! pada 8 Ogos lalu melaporkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah digerakkan ke ICQS Bukit Kayu Hitam selepas sebuah bagasi tanpa pemilik dikesan mengandungi imej disyaki bahan letupan dan dadah menerusi mesin pengimbas.
Pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah beg yang ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam Blok B Kompleks ICQS itu kira-kira pukul 5.55 petang, 7 Ogos.
Susulan penemuan imej mencurigakan itu, UPB tiba di lokasi kira-kira pukul 8.45 malam, hari sama bagi menjalankan penilaian risiko di sekeliling kawasan bangunan dengan mengutamakan keselamatan nyawa sebelum melaksanakan proses meneutralkan bagasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Siapa pemilik bagasi ‘pink’ cetus gempar di ICQS Bukit Kayu Hitam? appeared first on Kosmo Digital.





