Polis nafi dakwaan anggota ditikam Orang Asli ketika jalankan rondaan

8 Oct 2026 • 9:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis nafi dakwaan anggota ditikam Orang Asli ketika jalankan rondaan
Beberapa laporan polis telah diterima berkait isu tular berkenaan termasuk daripada daerah luar. Gambar hiasan

BERA – Polis menafikan dakwaan seorang anggota polis cedera ditikam Orang Asli ketika menjalankan tugas rondaan dan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasek Bera.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, dakwaan berkenaan tersebar menerusi platform TikTok pada Selasa adalah tidak benar serta tidak bertanggungjawab.

“Penyebaran kandungan sebegini bukan sahaja berpotensi mendatangkan kegusaran awam, bahkan boleh mencetuskan insiden keselamatan yang lebih besar serta menjadi tidak terkawal.

“Beberapa laporan polis telah diterima berkait isu tular berkenaan termasuk daripada daerah luar,” katanya pada Khamis.

Terdahulu, tular satu rakaman video di platform TikTok yang mendakwa segelintir Orang Asli di kawasan Bera membuat kekacauan dan menyerang anggota polis sehingga berlaku pertumpahan darah selepas seorang anggota dicucuk menggunakan senjata tajam.

Zulkiflee memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kita nasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan yang tidak benar atau belum disahkan, khususnya kandungan yang berpotensi mencetuskan salah faham, kebencian serta persepsi negatif terhadap mana-mana individu atau komuniti," jelasnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved