Polis PJ Guna Dron Demi Jejak Rider Tak Guna Lorong Motosikal

LocalTechnology
11 Jun 2025 • 6:31 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja akibat kecuaian atau sifat tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan.

Lebih teruk lagi apabila kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang disifatkan sebagai lebih berisiko dan terdedah.

Dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya, pihak berkuasa turut menjalankan operasi dari masa ke semasa lebih-lebih lagi di kawasan yang sering berlaku kemalangan.

PDRM Pertama Kali Guna Dron Kesan Kesalahan Penunggang Motosikal

Terbaharu, media melaporkan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan teknologi dron buat pertama kali bagi mengenal pasti penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong khas di sepanjang Lebuhraya Persekutuan.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, operasi yang dijalankan di KM28.4 lebuhraya tersebut hari ini (11 Jun) memberi tumpuan bagi mengurangkan kemalangan, lebih-lebih lagi nahas maut membabitkan penunggang motosikal.

“Kami bekerjasama dengan PGU dalam operasi tersebut dengan menggunakan dron.

“Sebaik sahaja pelaku dikenal pasti oleh dron, mereka akan dikenakan saman serta-merta.

“Bagi segelintir daripada mereka yang terkecuali dan mungkin melarikan diri, kami sudah merakam nombor pendaftaran mereka dan saman akan dihantar terus ke rumah mereka,” katanya dipetik The Star.

image is not available
Sumber gambar: Polis Daerah Petaling Jaya

Penunggang Motosikal Digesa Guna Lorong Khas, Kurangkan Risiko Kemalangan

Dalam pada itu, Shahrulnizam menggesa penunggang motosikal agar menggunakan lorong khas yang disediakan bagi mengurangkan risiko terlibat dalam kemalangan dan bahaya lain.

“Saya faham penunggang motosikal tidak suka menggunakan lorong berkenaan kerana kurang diminati, kerana sesetengah bahagian lorong motosikal mungkin gelap pada waktu malam, dan mungkin banjir ketika hujan.

“Operasi kami dijalankan pada waktu puncak sebelah siang, terutamanya pada waktu pagi,” katanya.

47 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Hari Ini, 16 Kesalahan Dikesan Oleh Dron

Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, Shahrulnizam berkata sebanyak 47 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

Daripada jumlah itu, 16 kesalahan telah dapat dikenal pasti menerusi teknologi dron dalam tempoh sejam sejak operasi bermula pada jam 11 pagi.

Dia berkata 32 saman telah dikeluarkan dalam tempoh 30 minit operasi tersebut berlangsung.

Antara kesalahan paling tinggi direkodkan adalah masuk ke laluan utama (20 saman), guna lorong kecemasan (12 saman) serta tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan ekzos diubah suai.

“Kebanyakan saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong khas di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Shahrulnizam turut menjelaskan bahawa kira-kira 16 kilometer di Lebuhraya Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa polis Petaling Jaya.

image is not available
Sumber gambar: Polis Daerah Petaling Jaya

70% Nahas Jalan Raya Di PJ Babitkan Penunggang Motosikal

Tambahnya lagi, operasi berkenaan bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, terutamanya penunggang motosikal, tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.

“Kami memberi fokus kepada penunggang motosikal kerana 70% nahas maut di daerah ini membabitkan mereka.

“Kami akan terus menjalankan operasi sedemikian menggunakan dron dari masa ke semasa,” jelasnya.

Op Motosikal Bertujuan Kurangkan Kadar Kemalangan Penunggang Motosikal

Menurut Shahrulnizam, Op Motosikal yang dilaksanakan di Lebuhraya Persekutuan tersebut dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan bersasar, yang merangkumi pemantauan udara dan kehadiran anggota trafik di lokasi ‘black spot’ kemalangan.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala, dan kita akan memaksimumkan penggunaan teknologi bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Tambahnya lagi, sebanyak sebanyak 55 kenderaan dan 61 individu telah diperiksa sepanjang operasi tersebut dijalankan.

“Op Motosikal ini antara usaha polis mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal, khususnya di Lebuhraya Persekutuan,” katanya.