Rampasan dadah KLIA melonjak enam kali ganda, cecah RM108.35 juta 

1 Aug 2026 • 2:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rampasan dadah KLIA melonjak enam kali ganda, cecah RM108.35 juta 

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 1.35 tan bernilai RM108.35 juta menerusi operasi membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini. 

Bermula Januari hingga semalam, sebanyak 108 kes direkodkan di KLIA, meningkat berbanding 54 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah tangkapan turut meningkat kepada 121 individu berbanding 57 individu tahun sebelumnya.

Katanya, 42 daripada mereka merupakan warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah melalui KLIA.

“Tindakan risikan dan pemantauan ketat di KLIA telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dan masuk dalam kuantiti berskala besar. 

“Jumlah berat dadah dirampas meningkat enam kali ganda, daripada 235.36 kg pada 2025 lalu kepada 1,353.41 kg, tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, keutamaan JSJN dalam memutuskan rantaian bekalan dadah turut menunjukkan peningkatan apabila kes di bawah kategori bekalan atau pengedaran meningkat daripada 18 kes kepada 47 kes bagi tempoh yang sama.

Jelasnya, jumlah tangkapan pengedar juga meningkat hampir tiga kali ganda daripada 21 orang pada tahun lalu kepada 59 orang tahun ini

“Kejayaan itu dicapai hasil pelbagai operasi khas yang dilancarkan di KLIA bagi memperkukuhkan tindakan agresif membanteras ancaman dadah di pintu masuk utama negara.

“Ia merupakan hasil kerjasama strategik antara PDRM melalui JSJN dengan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi perkongsian maklumat risikan yang pantas, pemantauan bersepadu serta kawalan keselamatan yang ketat di KLIA,” katanya. 

Hussein berkata, JSJN mengesan perubahan modus operandi sindiket yang kini membawa masuk dadah jenis bunga ganja apabila sebanyak 1,251.18 kilogram dirampas tahun ini berbanding hanya 82.98 kilogram pada tempoh sama tahun lalu.

“Rampasan dadah jenis ketamin turut meningkat kepada 16.51 kilogram berbanding 2.15 kilogram pada 2025,” katanya. 

Mengulas berhubung tangkapan juruterbang sebuah syarikat penerbangan dipercayai menyeludup dadah di Indonesia, katanya, pihak JSJN sedang menyiasat kemungkinan sindiket pengedaran dadah menggunakan kru penerbangan atau laluan udara untuk kegiatan terbabit.

“Kita sedang menyemak  rakaman kamera litar tertutup dan menganalisis imej berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Rampasan dadah KLIA melonjak enam kali ganda, cecah RM108.35 juta  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved