KUALA LUMPUR - Sebanyak 400 katrij vape mengandungi cecair disyaki fentanyl antara dadah bernilai RM31.57 juta yang dirampas menerusi dua serbuan Op Hemiptera di Selangor dan Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 33 tahun ditahan dalam operasi berkenaan, dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah dan penjaga stor bagi sindiket yang aktif sejak awal tahun ini.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di hadapan sebuah bengkel di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, yang membawa kepada penahanan suspek pertama.
"Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta jenis Audi mendapati ia dijadikan tempat penyimpanan dadah jenis methamphetamine seberat 212 kilogram (kg),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Hussein berkata, serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar Cheras, membawa kepada penemuan methamphetamine seberat 404 kg dan pil erimin 5 seberat 6.4 kilogram, selain dua bungkusan katrij vape berisi cecair fentanyl.
"Dadah fentanyl berkenaan disyaki dibawa masuk untuk pasaran tempatan khususnya di pusat-pusat hiburan dan bukannya untuk dijual secara terbuka di kedai vape biasa," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati dadah yang turut dikenali sebagai ‘dadah zombi’ itu tidak diproses di negara ini, sebaliknya Malaysia dipercayai hanya dijadikan tempat pembungkusan semula ke dalam bentuk katrij vape.
"Harga jualan pasaran tempatan bagi cecair berkenaan belum dapat dipastikan memandangkan ia belum pernah dikesan di pasaran, namun dadah jenis fentanyl cecair itu dianggarkan bernilai RM200,000 bagi setiap liter," katanya.
Hussein berkata, modus operandi sindiket adalah pihak pembekal akan meninggalkan kenderaan yang mengandungi dadah berserta kunci di lokasi yang telah ditetapkan.
"Kemudian kenderaan tersebut diambil oleh pihak pelanggan untuk tujuan menyimpan bekalan dadah di dalam stor dan kemudiannya kenderaan tersebut dipulangkan semula ke lokasi asal sebaik selesai urusan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman 11 hingga 13 hari bermula 10 April hingga 22 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, Hussein berkata, polis menumpaskan sindiket pengedaran 61 kg dadah jenis methamphetamine bernilai RM3.13 juta yang disembunyikan di dalam tin makanan bagi mengaburi pihak berkuasa untuk dihantar ke Sabah, menerusi penahanan lima individu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
"Penemuan dadah ini adalah hasil Op Icerya yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan (AKPS) Sabah," katanya.
Beliau berkata, AKPS Sabah mengesan beberapa bungkusan kurier mencurigakan yang dihantar dari Semenanjung Malaysia ke negeri itu, sebelum polis melancarkan tiga siri serbuan yang membawa kepada penahanan suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan, tiga lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia 22 hingga 45 tahun.
“Sindiket dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek adalah negatif dadah.
"Dadah yang dirampas ini boleh merosakkan seramai 305,000 orang yang menggunakannya,” katanya.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.




