
SEMPORNA: Polis Sabah melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas 329 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM18 juta menerusi dua operasi berasingan di Tawau dan Semporna, bulan lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi pertama dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Kunak menerusi Op Bayu 10 selepas memeriksa sebuah Proton Saga di kawasan parkir Jalan Tun Hamdan, Jalan Apas, Tawau pada pukul 10.30 malam, 12 Julai lalu.
Katanya, pemeriksaan menemukan tiga beg golf dan sebuah beg sukan yang mengandungi 70 bungkusan teh China berisi syabu seberat 74.86 kg serta wang tunai RM12,674.
“Dalam serbuan itu, polis turut menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri berusia antara 25 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di IPD Semporna, hari ini.
Beliau berkata, kurang 24 jam kemudian, polis melancarkan Op Bayu 11 di sebuah ladang kelapa sawit di Semporna dan merampas 254.35 kg syabu yang disimpan di dalam 24 beg pakaian hitam mengandungi 240 bungkusan di dalam sebuah van Toyota Hiace.
Susulan rampasan itu, polis menahan sepasang suami isteri tempatan berusia 38 dan 47 tahun di sebuah rumah di Putatan pada pukul 5 petang hari sama.
Menurut Jauteh, siasatan mendapati kedua-dua operasi itu mempunyai kaitan dengan sindiket sama dan polis kini memburu seorang lelaki tempatan berbangsa Cina dikenali sebagai Cheong Min Ken, 46, yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket berkenaan.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan syabu itu dianggarkan mampu menampung penggunaan 940,614 penagih bagi sekali penggunaan dan dipercayai cuba diseludup ke luar negara.
“Siasatan mendapati sindiket ini mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai menyasarkan Myanmar, Laos dan Thailand,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN
The post Polis Sabah rampas syabu RM18 juta, enam suspek diberkas appeared first on Utusan Malaysia.






