Polis sedang lengkapkan kertas siasatan libat Tony Pua

LocalPolitics
22 May 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis sedang lengkapkan kertas siasatan libat Tony Pua
M Kumar (kiri) dan laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan ke atas bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung isu sensitif berkaitan institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara sedang dilengkapkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat ini sebanyak 98 laporan polis sudah diterima di seluruh negara.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sudah merakam keterangan beliau (Tony Pua).

"Siasatan sedang dilengkapkan dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Tony diambil keterangan kira-kira 40 minit selepas menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 1.30 petang untuk mengatur rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan terhadap Tony susulan hantaran yang didakwa menyentuh isu sensitif.

Menerusi hantaran itu, Tony menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.

Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.