‘Tony Pua, Sila Berhati-Hati Bila Bercakap Tentang Rukun Negara’ - Sivamalar

LocalPolitics
22 May 2026 • 10:03 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Tony Pua, Sila Berhati-Hati Bila Bercakap Tentang Rukun Negara’ - Sivamalar

KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua diminta lebih berhati-hati apabila berbicara mengenai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, bagi memastikan ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. 

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, mukadimah Rukun Negara dengan jelas menekankan perpaduan nasional, pemeliharaan cara hidup demokratik, keadilan yang saksama, penghormatan terhadap kepelbagaian budaya, serta pembinaan sebuah masyarakat progresif. 

Dalam konteks Malaysia katanya, semua prinsip tersebut bergerak seiring dengan kerangka Raja Berperlembagaan selaku sebahagian daripada identiti kenegaraan negara, dan ia bukan sesuatu yang boleh diperlekeh atau ditafsir secara sempit demi kepentingan politik.

“Tiada siapa mengatakan Malaysia ditadbir melalui decree sesuka hati seperti yang cuba digambarkan.

“Itu hanyalah hujah strawman yang tidak membantu kepada pemahaman rakyat terhadap realiti sistem kenegaraan negara,” bidasnya, tajam. 

Jelas Sivamalar, pandangan Almarhum Sultan Azlan Shah dalam esei bertajuk The Role of Constitutional Rulers adalah sangat relevan dalam perbincangan melibatkan isu berkenaan.

“A king is a king, whether he is an absolute or constitutional monarch. But it is a mistake to think that the role of a king in a constitutional monarchy is confined to what is laid down by the Constitution. His role far exceeds those constitutional provisions,” katanya, memetik esei tersebut. 

Pandangan ini tambahnya, mengingatkan bahawa sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia mempunyai peranan, nilai dan roh yang lebih luas daripada sekadar bacaan literal terhadap teks perundangan, dan wajar difahami dalam konteks sejarah serta struktur kenegaraan negara.

“Pemimpin politik yang mengeluarkan kenyataan yang dilihat mempertikai titah atau teguran Sultan, ia bukan sekadar perbezaan pandangan politik, tetapi boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati semangat Rukun Negara, khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” katanya.

Sivamalar menarik perhatian, Malaysia memerlukan perbahasan matang, berasaskan fakta dan kefahaman menyeluruh terhadap sistem kenegaraan, dengan ruang perbezaan pandangan diraikan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan keharmonian Institusi Raja yang menjadi tunjang negara.

“Rakyat hari ini cukup bijak untuk menilai sesuatu kenyataan secara adil, dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan wacana awam terus dipandu oleh kebijaksanaan, hormat institusi dan semangat perpaduan nasional,” katanya. - Getaran, 22 Mei 2026