Polis serbu lokasi panas basikal lajak, penunggang berusia 9 hingga 15 tahun

25 Jul 2026 • 3:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis serbu lokasi panas basikal lajak, penunggang berusia 9 hingga 15 tahun

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 25 basikal lajak disita dalam operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti itu di ibu negara, Khamis lalu.

Operasi dijalankan di sekitar Desa Aman, Taman Rimba Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Murni 7, Jalan Pantai Permai 13, kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi serta Jalan Pantai Sentral 2 susulan aduan orang ramai.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata Operasi Pemantauan dan Penguatkuasaan Aktiviti Basikal Lajak bermula jam 4 petang hingga 6.30 petang telah mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati penunggang yang terbabit berusia antara sembilan hingga 15 tahun, dengan majoritinya berumur 14 tahun.

"Operasi ini dilaksanakan susulan aduan masyarakat mengenai aktiviti basikal lajak yang sering berlaku pada waktu petang dan malam di kawasan perumahan serta jalan awam.

"Selain tindakan penguatkuasaan, anggota JSPT Kuala Lumpur turut memberikan nasihat dan penerangan kepada penunggang mengenai bahaya aktiviti basikal lajak serta kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga juga diminta supaya memainkan peranan lebih aktif dalam memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak.

Katanya, pastikan anak-anak tidak mengubah suai basikal sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"JSPT Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan aktiviti basikal lajak, selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved