Polis siasat anggota MBDK diugut dengan pisau ketika operasi tangkap anjing liar

31 Jul 2026 • 9:42 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Polis siasat anggota MBDK diugut dengan pisau ketika operasi tangkap anjing liar

KLANG – Operasi menangkap anjing liar yang dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertukar tegang apabila seorang individu didakwa mengugut anggota penguat kuasa menggunakan sebilah pisau, selain menghalang tugas mereka sehingga mencetuskan kekecohan yang tular di media sosial.

Insiden yang berlaku di Jalan Sama Gagah 20, di sini, semalam itu turut menyebabkan seekor anjing mati ketika usaha melepaskan peralatan tangkapan susulan tindakan tarik-menarik oleh individu terbabit.

MBDK dalam satu kenyataan memaklumkan operasi hampir empat jam bermula pukul 8.30 malam itu dilaksanakan selepas menerima aduan rasmi penduduk berhubung isu kebanjiran anjing liar yang didakwa menjejaskan keselamatan awam.

Menurut MBDK, operasi berkenaan dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1) Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPK 2007 dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan serta dimaklumkan kepada ahli majlis kawasan.

Operasi itu membabitkan 11 kakitangan dan seorang pegawai Jabatan Kesihatan MBDK bersama kira-kira 50 penduduk setempat.

“Semua tangkapan dilaksanakan menggunakan peralatan ‘loop’ mengikut piawaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan proses penguatkuasaan dijalankan secara selamat serta mengutamakan kebajikan haiwan.

“Dalam operasi itu, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bagaimanapun, ketika anggota penguat kuasa cuba menangkap seekor anjing yang berkeliaran tanpa pengawasan di jalan awam, sekumpulan individu didakwa bertindak menghalang operasi tersebut.

Menurut MBDK, seorang daripada mereka bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ menggunakan sebilah pisau, selain mengugut untuk mencederakan diri sendiri sekiranya anjing itu tidak dilepaskan.

“Tindakan tarik-menarik dan kekecohan yang berlaku telah menyukarkan usaha anggota MBDK untuk melonggarkan serta melepaskan peralatan tersebut demi keselamatan haiwan sehingga menyebabkan anjing tersebut mati.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghindari kecederaan kepada mana-mana pihak, anggota MBDK melepaskan peralatan tersebut,” katanya.

Susulan kejadian itu, polis dipanggil ke lokasi bagi mengawal keadaan sebelum satu laporan dibuat berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam.

MBDK turut menzahirkan kekesalan terhadap insiden berkenaan dan menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah serta mematuhi piawaian kebajikan haiwan.

Pada masa sama, pemilik haiwan peliharaan diingatkan supaya memastikan lesen haiwan sentiasa sah dan tidak membiarkan haiwan berkeliaran sehingga boleh mengganggu keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Ia masih dalam siasatan polis dan pohon beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi lebih tiga minit memaparkan kekecohan ketika operasi menangkap anjing liar itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

The post Polis siasat anggota MBDK diugut dengan pisau ketika operasi tangkap anjing liar appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved