SEREMBAN - Polis membuka satu kertas siasatan berhubung satu rakaman video yang didakwa memberi gambaran bahawa Institusi Diraja Negeri Sembilan telah dikuasai oleh sebuah parti politik.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, sebanyak 11 laporan telah diterima oleh pihaknya setakat ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Video tular dakwa Istana Negeri Sembilan dipegang DAP, PH Jeram Padang lapor polis
Dakwaan Istana Negeri Sembilan ‘dipegang’ DAP fitnah jahat - PKR
"Polis telah menerima laporan berhubung satu rakaman video yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok dan didakwa mengandungi kenyataan yang memberi gambaran bahawa Institusi Diraja Negeri Sembilan dikuasai oleh sebuah parti politik.
"Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan bagi meneliti keseluruhan kandungan video serta konteks ucapan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Justeru beliau berkata, orang rasmi dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kandungan tersebut sehingga boleh menjejaskan siasatan dan ketenteraman awam.
Tambahnya, semua pihak turut diingatkan supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab serta mengelakkan sebarang kenyataan yang menyentuh isu kaum, agama dan Institusi Diraja sehingga boleh menimbulkan keresahan atau ketegangan dalam masyarakat.
Sebelum ini tular video seorang pemimpin UMNO Rembau mendakwa Istana Negeri Sembilan telah dipegang oleh DAP.
Difahamkan terdapat beberapa laporan polis telah dibuat berhubung perkara terbabit.
Istana Negeri Sembilan dalam kenyataannya menegaskan sebarang dakwaan yang mengaitkan pihaknya dengan mana-mana parti adalah tidak benar.
Semua parti politik turut dinasihatkan tidak mengaitkan istana semasa ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.






