Polis siasat dakwaan penangkap anjing liar tunjuk isyarat lucah

18 Sep 2026 • 7:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis siasat dakwaan penangkap anjing liar tunjuk isyarat lucah
Tangkap layar video tular yang memaparkan penangkap anjing liar didakwa menunjukkan isyarat lucah.

BATU PAHAT - Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar menunjukkan isyarat tangan berunsur lucah dan mengaibkan kepada seorang wanita di Sri Gading di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, laporan daripada wanita tempatan berusia 29 tahun itu diterima pada jam 2.02 pagi Jumaat.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.30 pagi Khamis ketika pengadu melalui sebuah kawasan perumahan di Sri Gading.

“Terdapat beberapa pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi menangkap haiwan terbiar.

“Berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak sebelum salah seorang pekerja kontraktor terbabit menunjukkan isyarat tangan yang difahami berunsur lucah dan mengaibkan pengadu,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan dakwaan kontraktor terbabit menganiaya anjing terbiar sebelum perakam yang menegur perkara itu diberikan isyarat tangan berunsur lucah dan tidak sopan.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dilaporkan akan memanggil kontraktor yang dilantik bagi menguruskan haiwan terbiar serta wakil pencinta haiwan untuk mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai insiden tersebut.

MPBP dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya komited mengekalkan ketelusan dan memastikan kesejahteraan komuniti dalam setiap tindakan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved