
BATU PAHAT- Polis akan membuka siasatan kejadian seorang lelaki yang juga pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kejadian di Sri Gading di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun pada pukul 2 pagi hari ini.
Katanya, melalui laporan itu, kejadian berkenaan telah berlaku semalam kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah kawasan perumahan di kawasan Sri Gading, Batu Pahat, Johor.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa pengadu sedang melalui kawasan tersebut, terdapat beberapa orang pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi menangkap haiwan terbiar di kawasan berkenaan.
“Berlaku perselisihan faham di antara kedua pihak sehingga menyebabkan salah seorang pekerja kontraktor tersebut telah menunjukkan isyarat tangan yang difahami adalah berunsur lucah dan mengaibkan kepada pengadu.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) iaitu perbuatan, perkataan atau kelakuan yang menghina, mengaibkan atau mengganggu ketenteraman awam dengan niat mendatangkan kemarahan.,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Sebelum itu tular gambar seorang lelaki menunjukkan isyarat lucah dalam media sosial hingga mencetus pelbagai reaksi dan komen dari nitizen.-KOSMO! ONLINE.
The post Polis siasat lelaki tunjuk isyarat lucah kepada wanita appeared first on Kosmo Online.






